Pada suatu hari ada seekor kerbau jantan hendak minum
air. Kerbau itu berjalan melalui satu lorong menuju ke sungai. Sungai itu agak
luas. Airnya cetek saja, jernih dan sejuk. Kerbau itu mengharung air. Air itu
hanya setakat lutut sahaja. Kerbau itu menuju ke tengah-tengah sungai kerana
air di bahagian tengah sungai lagi jernih. Ketika menghirup air, kerbau terdengar
sesuatu di tepi sungai. Kerbau merenung ke arah suara itu. Kerbau ternampak air
terhambur naik di tebing sungai. Tiba-tiba terdengar suara dari tepi sungai
dekat rimbunan buluh.
Buaya :
“Tolong! Tolong! Tolong aku , kerbau!”
Kerbau cuba memerhati dan meneliti suara itu. Kerbau
ternampak sesuatu berbalam-balam dari jauh seperti batang kelapa ditindih
sebatang kayu. Suara meminta tolong terus bergema. Merayu-rayu bunyinya. Kerbau
mendekati suara itu. Rupa-rupanya ada seekor buaya ditindih oleh pokok kayu,
betul-betul di tengah belakangnya.
Kerbau :
“Oh, buaya! Kenapa ini?”
Buaya :
"Tolong aku, kerbau! Aku ditimpa oleh pokok yang tumbang. Aku tidak boleh
bergerak. Berat sungguh batang kayu ini,"
Kerbau kasihan melihat buaya. Kerbau cuba mengangkat
kayu itu dengan tanduknya. Apabila batang kayu terangkat, buaya cepat-cepat
melepaskan dirinya. Sebaik-baik sahaja kerbau menghumban kayu itu ke bawah,
buaya segera menangkapnya.
Kerbau :
"Eh, buaya! Kenapa ini?"
Buaya : .
"Aku hendak makan kau. Hari ini kau menjadi rezeki aku."
Kerbau : .
"Kaulah binatang yang amat jahat dalam dunia ini. Tidak tahu membalas
budi. Orang berbuat baik, kau balas jahat. Sepatutnya buat baik dibalas baik.
Buat jahat dibalas jahat. "
Buaya :
"Aku tidak peduli."
Kerbau cuba menanduk buaya tetapi buaya menguatkan
lagi gigitannya. Kerbau tidak mampu melepaskan diri kerana berada dalam air.
Kalau buaya menariknya ke bawah tentulah ia akan lemas. Kerbau merayu supaya
buaya tidak membunuhnya.
Kerbau :
"Janganlah bunuh aku, buaya! Aku
pun mahu hidup. Kau makanlah benda lain."
Buaya :
"Aku boleh melepaskan kau tetapi dengan satu syarat."
Kerbau :
"Apakah syaratnya?"
Buaya :
"Kita cuba dapatkan jawapan, betul atau tidak bahawa berbuat baik dibalas
baik? Kita tanya apa-apa yang lalu di sini. Kalau jawapannya sama sebanyak tiga
kali, aku akan bebaskan kau."
Kerbau bersetuju dengan syarat yang dicadangkan oleh
buaya. Mereka bersama-sama menunggu sesiapa sahaja yang lalu atau yang hanyut
di dalam sungai itu. Tiba-tiba mereka ternampak sebuah saji yang buruk hanyut.
Buaya pun bertanya pada saji.
Buaya :
"Saji, betulkah berbuat baik dibalas baik?"
Saji :
"Tidak betul. Berbuat baik dibalas jahat. Di rumah, aku digunakan untuk
menutup makanan. Nasi, lauk, kuih, dan apa-apa sahaja aku lindungi. Pendek kata, aku banyak menolong dan berbakti
kepada tuan aku. Kucing dan tikus tidak boleh mencuri lauk. Aku lindungi.
Tetapi aku amat sedih, apabila aku buruk dan koyak, tidak berdaya lagi menutup
makanan, aku dibuang ke sungai. Itulah sebabnya aku berkata berbuat baik
dibalas jahat. "
Saji menamatkan ceritanya dan terus hanyut.
Buaya :
."Macam mana kerbau? Betul atau tidak apa yang aku kata?"
Kerbau berdiam diri kerana berasa cemas dan sedih.
Kerbau berdoa di dalam hati supaya Tuhan menolongnya. "Tuhan tentu akan
menolong orang yang baik," kata kerbau dalam hatinya.
Tidak lama kemudian, kelihatan sepasang kasut buruk
pula hanyut di situ. Sebelah daripada kasut itu tenggelam kerana tapaknya berlubang.
Tetapi kasut itu bergantung kepada pasangannya dengan tali. Kedua-dua belah
kasut itu hanyut bersama-sama .
Buaya :
"Hah, itu satu lagi benda hanyut! Kita cuba tanya. Kasut, betul atau tidak
berbuat baik dibalas baik?"
Kasut :
“Tidak betul kerana berbuat baik dibalas jahat.”
Hancurlah harapan kerbau untuk hidup apabila mendengar
kasut memberi jawapan itu.
Kasut lalu bercerita.
Kasut : “Pada
suatu masa lalu, aku amat disayangi oleh tuanku. Setiap hari aku dibersihkan
dan dikilatkan. Apabila malam, aku disimpan di tempat selamat. Aku juga hanya
dipakai oleh tuanku apabila pergi ke bandar sahaja. Kalau tuanku pergi ke
tempat berpasir atau berlumpur, aku tidak dipakainya. Tetapi apabila sudah
buruk, aku tidak disayangi lagi. Badanku tidak dikilatkan lagi. Aku dibaling ke
tepi tangga selepas digunakan. Apabila malam, aku ditinggalkan di halaman
rumah. Aku dibiarkan berembun dan berhujan. Ketika itu juga, aku menjadi tempat
persembunyian katak puru untuk menangkap nyamuk. Apabila sudah terlalu buruk
dan koyak, aku dibuangkan ke dalam sungai. Itulah sebabnya aku hanyut ke sini.”
Kasut menamatkan ceritanya lalu pergi bersama-sama
arus air.
Buaya :
"Sudah dua jawapan. Engkau kalah. Tetapi aku bagi satu peluang lagi. Kalau
datang yang ketiga, sama jawapannya, engkau akan menjadi habuanku. "
Ketika kerbau dan buaya menanti kedatangan benda yang
ketiga, tiba-tiba datang seekor kancil hendak minum air. Kancil itu pergi ke
tebing tempat buaya dan kerbau. Kancil terkejut apabila melihat buaya menggigit
kaki kerbau. Kancil melihat air mata kerbau berlinang. Manakala buaya pula kelihatan
bengis.
Kancil :
"Ada apa kerbau? Kenapa buaya gigit kaki engkau?"
Buaya :
"Mujurlah engkau datang, kancil! Kami sedang menunggu hakim yang ketiga
untuk mengadili kami."
Kancil :
“Mengapa?”
Buaya :
“Kami bertengkar, berbuat baik adalah dibalas jahat."
Kancil :
"Tetapi kenapa kamu gigit kaki kerbau?"
Buaya lalu bercerita mengenai dirinya yang ditindih
batang kayu. Kerbau datang menolong. Tetapi buaya tidak mahu membalas perbuatan
baik kerbau. Buaya menganggap kerbau itu patut menjadi rezekinya.
Kancil :
"Tetapi sebelum aku memberikan keputusan, aku mahu tengok kejadian
asalnya."
Buaya :
"Mula-mula aku kena tindih batang pokok patah. Batang pokok itu jatuh
menimpa belakang aku."
Kancil :
"Boleh aku tengok macam mana pokok itu berada di atas belakang kau?"
Buaya :
"Macam mana aku hendak tunjukkan, kerbau sudah alihkan batang kayu
itu."
Kancil :
"Baiklah! Sekarang engkau pergi duduk tempat asal, tempat engkau kena
tindih."
Buaya mengikut sahaja arahan kancil. Buaya melepaskan
kaki kerbau lalu duduk dekat batang pokok.
Kancil :
"Kerbau! Cuba engkau tunjukkan, bagaimanakah kayu itu berada di atas
belakang buaya? Tunjukkan padaku, bagaimanakah caranya engkau mengangkat batang
kayu itu?"
Kerbau melakukan apa yang disuruh oleh kancil.
Kancil :
"Cuba engkau bergerak, buaya! Bolehkah kayu itu diangkat? Cuba lagi,
seperti engkau mula-mula kena tindih. Kuat lagi, kuat lagi”
Buaya terus mencuba tetapi tidak berupaya melepaskan
diri. Buaya cuba mengumpul kekuatan untuk mengangkat batang kayu itu, tetapi
gagal. Ekornya sahaja membedal air tetapi batang kayu tetap itu tidak bergerak.
Buaya sudah penat. Kerbau pula menunggu arahan kancil.
Kancil :
"Selepas itu apakah yang terjadi?"
Kerbau : .
"Selepas itu aku datang menolong. Aku mengangkat batang pokok itu. Apabila
buaya terlepas, ia gigit kaki aku."
Kancil :
"Bagaimanakah cara kamu mengangkatnya?"
Kerbau segera mendekati batang pokok itu. Kerbau
menundukkan kepala hendak mengangkat batang kayu itu.
Kancil :
"Sudah! Setakat itu dulu. Aku sudah faham. Jangan angkat kayu
itu."
Kerbau :
"Habis itu macam mana pula dengan buaya? Tentu buaya akan mati."
Kancil :
"Engkau ini sangat lurus dan jujur, wahai kerbau! Biarlah buaya ini mati. Kalau buaya ini
hidup, engkau tentu mati. Buaya yang jahat ini patut menerima balasannya kerana
tidak tahu membalas budi baik."
Kancil lalu berlari naik ke atas tebing sungai. Buaya
bertempik apabila mendengar kata-kata kancil. Buaya tahu ia sudah kena tipu.
Buaya membedal ekornya dengan sekuat-kuat hatinya. Air sungai melambung naik.
Kerbau segera melompat lalu berlari naik ke atas tebing mengikut kancil.
Buaya :
"Jaga, kancil! Kau tipu aku. Ingat, kancil! Aku akan makan kau."
Namun, kancil dan kerbau tidak mempedulikan buaya
lagi. Kerbau mengucapkan terima kasih kepada kancil. Kedatangan kancil ke
tebing sungai itu telah menyelamatkan nyawanya. Buaya sudah menerima balasan
yang setimpal dengan perbuatan jahatnya itu.
Video Sang Kancil, Kerbau Dan Buaya Yang Bodoh.
Assalamu'alaikum ....
ReplyDeleteCerita yang begitu menarik ... Sesiapa saja yang berbuat jahat akan menerima balasanya..
Tahniah....
Walaikummsalam....
ReplyDeleteYa Siti, kita mengharapkan semua insan di muka bumi ini mengamalkan kebaikan dan sentiasa muhasabah diri...sebab tu adanya SYURGA dan NERAKA....